Kehidupan dan kerjaya Sheera_Iskandar

Sheera dilahirkan sebagai Tengku Shaheera Ilani binti Tengku Iskandar pada 18 April 1985 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan anak sulung daripada tiga beradik kepada pelakon Aznah Hamid dan YM Tengku Iskandar Bin YM Tengku Long Ahmad (Tengku Panglima Raja) bin YAM Tengku Long Abdul Ghaffar (Tengku Temenggong) Ibni DYMM Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah), seorang kerabat diraja Kelantan.

Beliau mula bergiat aktif dalam bidang lakonan pada 2004 setelah bakatnya dicungkil oleh pelakon veteran terkenal, Datin Rosnani Jamil. Di bawah didikkan Rosnani atau lebih mesra dengan panggilan Mak Nani, Sheera membuat kemunculan sulungnya di layar lebar menerusi filem Bicara Hati bersama Nur Fazura dan Hanez Suraya. Filem inilah yang melancarkan kerjaya lakonan beliau serta Fazura dan Hanez.[1]

Pada tahun yang sama, beliau membuat kemunculan sulungnya di layar kaca menerusi drama Sembilu Kasih arahan Datuk Yusof Haslam dan seterusnya muncul dalam drama Janji Diana yang diadaptasi daripada filem 2002 dengan judul sama lakonan Erra Fazira, juga arahan Yusof. Pada 2005, beliau berlakon dalam dua filem — filem aksi KL Menjerit 1 arahan Bade Hj. Azmi yang merupakan prekuel dari filem KL Menjerit dan filem drama romantik Sembilu 2005.

Antara 2009 dan 2011, Sheera berlakon dalam siri drama Si Capik yang mana beliau memegang watak sebagai Syerin, isteri kepada Reza lakonan Zachery Francis atau lebih dikenali sebagai Zach X-Factor. Drama ini turut dibintangi oleh Erry Putra, Hetty Sarlene, ibunya Aznah Hamid, Fathil Dani, Raja Noor Baizura, Aziz Singah dan Riz Amin.

Pada 2010, beliau mula mendapat perhatian umum menerusi lakonannya sebagai Halimah, seorang gadis lurus bendul yang bergigi jongang dalam siri drama komedi, Halimah Jongang terbitan A. Aida Productions yang mana ia memerlukan beliau memakai gigi palsu demi watak Halimah.[2]

Beliau kembali ke layar lebar pada 2011 menerusi dua filem terbitan Skop ProductionsKL Gangster[3] (sebagai Zati) dan Aku Bukan Tomboy[4][5] (sebagai gadis pengkid bernama Bell), kedua-duanya arahan Syamsul Yusof. Sheera kembali melakonkan watak Zati dalam KL Gangster 2 pada 2013.